IBARATNYA, kalau ada peluang di depan mata dan sesuai dengan jadual, atlet gimnastik artistik negara, Sharul Aimy tidak menolak kemungkinan untuk terjun ‘sepenuhnya’ dalam dunia seni.
Sharul atau nama sepenuhnya, Muhammad Sharul Aimy Kamarul, 22, bagaimanapun berkata, fokus utamanya sekarang adalah bidang sukan iaitu gimnastik artistik terutama selepas berjaya menggondol pingat gangsa pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.
Memiliki rupa paras tampan dan fizikal sasa, anak jati kelahiran Terengganu itu akur bahawa dia tidak akan selamanya menjadikan dunia sukan sebagai karier.
Sampai waktu, pasti dia akan bersara dan mencari punca rezeki lain.
‘Sampai bila jadi atlet’
“Saya sendiri tak tahu sampai bila saya akan bergelar atlet gimnastik. Tapi, seandainya suatu hari nanti khidmat sebagai atlet tidak lagi diperlukan, saya ingin membantu para pelapis baharu dalam sukan ini dengan menjadi seorang jurulatih.
“Buat masa sekarang, lakonan juga saya banyak terima tawaran, namun tidak semua boleh saya ‘sapu’.
“Asalkan tak kacau jadual latihan atau training, saya okey sahaja. Saya hanya akan ambil ‘job’ hujung minggu atau waktu malam kalau ada masa terluang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Sharul pernah terlibat sebagai penampilan istimewa drama Journal Sa-haeyo terbitan Viu Malaysia.
Mengakui bahawa dunia lakonan bukan suatu pekerjaan yang mudah, Sharul berkata, masih jauh perjalanannya andai ingin berkecimpung sepenuh masa dalam cabang seni tersebut.
“Sukar buat saya. Contohnya masa dalam drama Viu itu, babak saya sikit sahaja tapi ambil masa dua hari untuk dilakukan.
“Saya tak boleh bayangkan saya terjun ke dalam bidang seni sepenuh masa tapi siapa tahu kan, kerana kita manusia hanya mampu merancang yang tentukan Allah SWT,” ujarnya.
Usikan nakal
Dijentik persoalan tentang sama ada dirinya pernah menerima usikan nakal daripada peminat dalam media sosial, Sharul tidak menafikan perkara tersebut.
Pendekatan yang diambil adalah tidak melayani langsung kerana tidak mahu terganggu dengan benda-benda yang tidak berfaedah.
“Mesti ada direct message (dm) pelik-pelik masuk tapi saya terlalu sibuk dengan kerja sampai tak terbaca.
“Kalau yang mendoakan agar saya terus sukses, itu saya sangat hargai tapi kalau yang bukan-bukan, lebih baik saya tidak baca langsung,” katanya yang sentiasa tersenyum ketika menjawab soalan media.
Sharul akan menyertai empat kejohanan Piala Dunia Gimnastik Artistik berturut-turut iaitu di Kaherah (Mesir), Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan) bermula Januari hingga Mac depan bagi memburu slot ke temasya sukan Olimpik Paris 2024.