SKUAD AMD Dream menepati ramalan melangkah ke pentas final kategori bawah 13 (B-13) tahun Piala Supermokh 2023 selepas menewaskan Evergrande Football School, 2-0 di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, hari ini.
Pada saingan tersebut, skuad tuan rumah meraih gol menerusi ledakan Muhammad Haziq Zamin pada minit ke-36 sebelum Muhammad Harraz Ajwad meledak gol kedua pada minit ke-42 untuk lolos ke final.
Keputusan tersebut menyaksikan AMD Dream akan bersaing dengan kelab KKS Lech Poznan yang telah menewaskan Zhejiang Professional FC 5-1 pada satu lagi saingan hari ini.
Ketua jurulatih AMD Dream, Azmi Arifin berkata, kejayaan melangkah ke pentas final adalah hasil usaha keras pemainnya yang ternyata mempamerkan semangat juang inginkan kemenangan.
“Syukur Alhamdulillah, pemain kita beraksi dengan baik dan yang paling ketara adalah mentaliti kemenangan yang ketara, bukan senang hendak menewaskan pasukan dari China dan pemain saya telah membuktikannya.
“Ini adalah kejayaan bersama dan lebih banyak lagi kerja perlu dilakukan khususnya pada pentas final esok,” katanya selepas perlawanan.
Bagi kategori B-12 tahun pula, NFDP A dan Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pentas final selepas menewaskan lawan masing-masing diperingkat separuh akhir.
NFDP menang ke atas NFDP B dengan keputusan 3-1 manakala JDT menewaskan Zhejiang Professional FC,2-1 memastikan mereka dipentas final. – KOSMO! ONLINE