KUALA LUMPUR – Keadaan rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mendapat ‘perhatian’ para peminat bola sepak tanah air yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kualitinya ketika Harimau Malaya menentang India sebentar tadi.
Beberapa bahagian padang di ‘gelanggang keramat’ Harimau Malaya dilihat tercabut dan sedikit menjejaskan rentak permainan skuad kebangsaan walaupun menang 4-2 ke atas lawan di ranking ke-102 dunia itu.
Perkara itu turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila berkongsi pandangannya mengenai keadaan rumput tersebut.
“Padang itu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim (gelanggang bagi pasukan JDT).
“Tetapi pasukan kebangsaan nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan pihak stadium.
“Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang-kurangnya lagi dua atau tiga bulan. Kontraktor ini kontraktor yang sama buat padang JDT,” titah baginda di laman Twitter peribadinya sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE