fbpx

Maslin tak kisah comot kerja dalam pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASLIN

“SIAPA kata perempuan tidak boleh buat kerja lelaki? Dalam dunia serba moden sekarang ini, semuanya tidak mustahil.”

Itu antara kata-kata semangat yang sentiasa dijadikan penguat dan sumber inspirasi bagi wanita berani berusia 40 tahun ini.

Maslin Md. Ramly ada jalan cerita tersendiri dalam perniagaan yang diceburi hingga membentuk keperibadiannya kini.

Beritahu Maslin, dia sebelum ini bekerja dalam bidang fesyen dengan mengasaskan sebuah perniagaan sendiri.

Pun begitu, suaminya yang juga pengasas White Dot Sdn. Bhd. (White Dot) iaitu sebuah syarikat rekaan dalaman dan pembinaan, Abdullah Isa Hoo Kee Kuan telah meminta Maslin bekerja bersama, sekali gus membentuk dirinya ketika ini.

“Sebelum ini saya memang buat bisnes fesyen dan langsung tidak terfikir untuk bekerja bersama suami sebagai ‘partner’ dalam perniagaan yang dijalankan.

“Ketika itu, suami minta saya bantu syarikatnya yang memerlukan seorang yang mahir dalam selok-belok pemasaran.

“Bermula dari situlah, saya mula aktif bersama White Dot, tetapi pada masa sama tetap meneruskan bisnes fesyen yang dijalankan sebelum itu,” katanya berkongsi kepada Aura.

MASLIN (tengah, empat dari kiri) bersama sebahagian staf syarikat White Dot.

Bercerita lanjut, anak jati kelahiran Mersing, Johor itu memberitahu, dia kemudian dilantik secara rasmi sebagai co-founder (pengasas bersama) serta turut menjalankan kerja-kerja pemasaran. Dari situlah cintanya terhadap bidang pembinaan berputik.

“Pada mulanya, saya memang takut dan tak berani hendak masuk dalam dunia pembinaan, walaupun sebelum itu saya sudah menyertai syarikat tetapi sebagai sleeping partner sahaja.

“Setelah diajak suami secara baik pada 2021, saya cabar diri dan mulakan dunia baharu ini. Bayangkan dari cantik-cantik dan lawa, terus berubah kepada kotor serta comot.

“Persekitaran kerja juga jauh berbeza kerana dalam pembinaan rata-ratanya dipelopori oleh kaum lelaki dan tidak ramai wanita seperti saya,” ujarnya.

Bercerita mengenai cabaran dalam kerjaya, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak menafikan apa jua bidang pekerjaan pasti ada dugaan dan ujian tersendiri.

“Pada penghujung 2019, negara dikejutkan dengan kedatangan pandemik Covid-19 yang melumpuhkan hampir semua sektor ekonomi dan pekerjaan.

“Syarikat White Dot juga terkesan kerana hampir setahun lebih tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Sebelum itu, syarikat banyak terlibat dengan projek komersial seperti pejabat, restoran dan nama-nama besar seperti di lapangan terbang.

“Namun, selepas Covid-19 melanda, syarikat terpaksa ubah ‘mood’ perniagaan daripada komersial kepada residential (perumahan).

“Dari situ kami bangkit semula setelah perniagaan ditutup sementara. Alhamdulillah, daripada lima pekerja, kini kami mampu upah lebih daripada 30 staf,” tuturnya.

Tambah Maslin, biarpun banyak cabaran lain yang terpaksa dihadapinya ketika itu, namun dia bersyukur perniagaan fesyen diasaskannya sedikit sebanyak membantu kelangsungan hidup keluarga ketika Itu.

Berkongsi perancangan syarikat, Maslin memberitahu, jika tiada aral melintang, White Dot akan membuka cawangan di sebelah utara, selatan dan Pantai Timur.

“Impian dan perancangan kami untuk buka wakil cawangan di setiap zon. Jika tiada aral, kami bakal ada wisma sendiri di Selangor nanti.

“Kami juga sudah mula memperkenalkan beberapa pakej dan tidak tertumpu kepada golongan T20. Kami juga membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mendapatkan rekaan dalaman idaman mereka.

“Apa yang saya boleh katakan, keunikan dan kelebihan kami dari aspek services (perkhidmatan) selama 14 tahun ini membawa kepada trust (kepercayaan) pelanggan,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI