fbpx

Mak tak kenal Nurshahila lagi – Fauziah Sarman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKAN untuk memenangkan anak-anak yang lain, namun Fauziah Sarman mengakui seolah-olah tidak lagi mengenali hati budi Shila Amzah.

PETALING JAYA – “Mak sudah tidak kenal siapa Nurshahila lagi.”

Demikian antara ungkapan menikam jiwa daripada Fauziah Sarman, ibu penyanyi terkenal, Shila Amzah berhubung perang darah daging anak-anaknya dalam media sosial.

Berhari-hari sekadar mengundang perhatian dengan perkongsian status berbaur kerohanian, ibu tunggal empat anak itu dilihat meletakkan kesalahan terhadap puteri sulungnya yang didakwa mendedahkan hal dalam kain keluarga kepada umum. Dia juga seperti tidak lagi mengenali siapa Shila atau Nurshahila Amir Amzah.

“Untuk anakku Nurshahila yang telah emak kandung dalam rahim pinjaman Allah ini selama sembilan bulan, yang telah emak lahirkan, susukan dan besarkan selama ini.

“Emak dah hilang kata-kata. Satu demi satu dugaan menimpa diri mak di usia yang tinggal sisa ini. Sungguh hanya Allah lebih mengetahui segala apa yang terjadi sekarang.

“Jujur, mak sudah tidak kenal siapa Nurshahila lagi. Tulisan ini bukan untuk mengusik nama besar kamu dan bukan juga petanda emak ‘menangkan’ adik-adik,” katanya dalam hantaran Instagram.

Hilang kata-kata melihat anak-anak yang lahir rahim sama bercakaran dan saling memburukkan sehingga mencalarkan maruahnya sebagai ibu, bekas isteri penyanyi dan pelakon Datuk ND Lala itu berkata, selama ini telah mencurahkan perhatian sama rata kepada setiap anak-anak tanpa pilih kasih.

“Tidak pernah ada sikap melebihkan anak yang mana biar ada yang terlebih terkurang itu ini.

“Allah tahu kasih sayang seorang ibu itu sama sahaja kepada setiap anak-anaknya biar mereka hebat, kaya, degil, nakal atau sebagainya,” ujarnya.

Membalas kepada dakwaan menantunya Ubai, Fauziah menafikan tuduhan yang mengatakan dirinya memaksa Shila bekerja sejak usianya kecil.

Wanita terbabit turut menepis kenyataan kononnya dia memeras keringat dan menggunakan hasil titik peluh penyanyi Patah Seribu itu demi menanggung seisi keluarga.

“Nurshahila memang sudah bernyanyi sejak usia kanak-kanak tapi semua atas rela jiwanya sendiri tiada paksaan.

“Mungkin, apa yang mak korbankan ke sana sini menemani Nurshahila hanya ‘kewajipan’ emak sebagai ibu. Mungkin tiada budi dan pengorbanan emak di situ.

“Mak bahagia dan bangga melihat kejayaan cita-cita anak yang diinginkan sejak kecil, mungkin segala sukses itu bukan doa dari mak,” ulasnya.

Menurut Fauziah lagi, segala jawapan terhadap tuduhan yang dilemparkan kepadanya sudah diketahui sendiri oleh Shila.

“Apakah lupa emak hanyalah seorang isteri yang taat dan menurut apa sahaja yang diatur oleh bapa Nurshahila? Apakah emak yang selama ini mengatur ekonomi keluarga?.

“Hingga duit tu dikatakan habis sampai kita sendiri tak tahu berapa keseluruhan jumlahnya. Kita berdua hanya di hantar ke China untuk berkerja. Tanyalah diri dan kamu tahu siapa yang menghabiskannya,” tulisnya panjang lebar yang status yang sudahpun dipadam menerusi Instagram.

Pergolakan keluarga Shila Amzah sebenarnya berpunca daripada isu penjualan sebuah rumah banglo di Hulu Langat, Selangor yang didiami Fauziah bersama anak-anak.

Perbalahan terbuka anak-anak Fauziah turut membabitkan dua lagi anaknya, Syada dan Amir Syafiq selain pendedahan bekas menantunya, Nurul Ain Waheeda yang menghangatkan lagi kontroversi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI