NEW DELHI – Mahkamah Agung India menolak permohonan seorang lelaki berumur 89 tahun dan merupakan bekas pegawai Tentera Udara India untuk menceraikan isterinya yang berusia 82 tahun, lapor portal berita The Indian Express hari ini.
Dalam keputusan baru-baru ini, Mahkamah Agung memberitahu lelaki itu dan pasangannya bahawa perkahwinan masih dianggap sebagai sesuatu yang suci melibatkan rohani dan emosi yang tidak ternilai antara suami dan isteri dalam masyarakat India.
Pasangan itu berkahwin pada Mac 1963 dan mempunyai dua anak perempuan serta seorang anak lelaki.
Masalah bermula selepas pegawai itu dipindahkan dari Amritsar ke Madras pada Januari 1984 tetapi isterinya yang merupakan seorang guru, enggan menyertainya. Wanita itu memilih untuk tinggal bersama mertuanya dan kemudian bersama anaknya.
Apabila percubaan untuk mencapai penyelesaian secara baik gagal, si suami memfailkan permohonan cerai atas alasan kekejaman dan hidup terpisah.
Lelaki itu berhujah bahawa isterinya langsung tidak menghubunginya apabila dia dimasukkan ke hospital tentera kerana serangan jantung. Wanita itu juga didakwa mengadu kepada pihak atasan tentang dirinya sekali gus memburukkan imejnya yang dianggap sebagai satu bentuk kezaliman.
Bekas pegawai tentera itu berkata, mereka telah tinggal berasingan sejak Mac 1997 apabila dia memfailkan petisyen cerai di sebuah mahkamah daerah.
Bagaimanapun, isterinya berkata bahawa sebagai seorang wanita tua, dia tidak mahu meninggal dunia ketika berada dalam keadaan perceraian. – AGENSI