SEREMBAN – Sebuah syarikat pembersihan berani mengambil risiko apabila menggajikan warga asing tanpa lesen memandu (CDL) dan lesen vokasional (GDL) sebagai pemandu lori sampah dalam pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan Perindustrian Nilai, di sini pagi tadi.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, perkara itu mengundang padah apabila pihaknya bertindak menyita lori sampah itu selain pemiliknya dikenakan saman dalam pemeriksaan pada pukul 7 pagi.
Hanif Yusabra berkata, semakan turut mendapati lori sampah dipandu seorang lelaki warga Indonesia itu sudah tamat cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.
“Penyitaan ini dibuat mengikut peruntukan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melakukan kesalahan tiada lesen memandu GDL, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.
“Pemandu lori sampah warga Indonesia itu dan pemilik kenderaan telah dikenakan saman atas kesalahan berkenaan menurut Seksyen 26(1), 57, 23(1) dan 90(1) APJ 1987,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Jelas beliau, JPJ juga menyerahkan pemandu lori dan seorang kelindan yang gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk semakan dan tindakan lanjut menurut peruntukan di bawah akta agensi berkenaan. – KOSMO! ONLINE