KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau pergerakan rakyat Malaysia agar tidak terbabit dalam sebarang pergerakan ke kawasan konflik Palestin-Israel berikutan faktor keselamatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, orang ramai digesa menggunakan saluran dan medium yang aman sejahtera dalam menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel.
“PDRM menasihatkan agar rakyat Malaysia tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik atas faktor keselamatan.
“Pemantauan rapi dan elemen-elemen berkaitan telah digerakkan khususnya cawangan khas dalam memastikan tiada penglibatan rakyat Malaysia yang terlibat sehingga wujud risiko keselamatan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau meminta agar masyarakat berwaspada serta menyemak terlebih dahulu sebelum menyalurkan sebarang bentuk bantuan agar tidak diberikan kepada scammer.
“Dalam perkara ini, masyarakat perlu berwaspada tinggi untuk mengelak daripada terjerat dengan tindakan tidak bertanggungjawab mana-mana puhak yang cuba mengaut keuntungan.
“PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas jika terdapat pihak dikesan mengambil kesempatan,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE.