fbpx

Konflik Israel-Palestin: Hamas isytihar ‘Hari Jihad’ global, seru kebangkitan umat Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS meningkatkan rondaan dalam komuniti Yahudi dan Islam di Los Angeles. - Foto Los Angeles Daily News/Getty Images

LOS ANGELES, CALIFORNIA – Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) dan penguatkuasa undang-undang persekutuan di Los Angeles memberi amaran waspada kepada orang ramai selepas kumpulan Hamas menggesa penyokongnya dan umat Islam lain turun ke jalanan sebagai menyahut seruan ‘Hari Jihad’, lapor portal berita Los Angeles Magazine.

Pengisytiharan ‘Hari Jihad’ yang berlangsung hari ini dibuat oleh bekas pemimpin kanan Hamas, Khaled Meshaal.

Jabatan Polis Los Angeles berkata, pihaknya maklum tentang kenyataan Hamas dan akan meningkatkan pemantauan serta rondaan di bandar raya tersebut.

“Kami tidak mempunyai maklumat mengenai ancaman khusus terhadap bandar raya Los Angeles tetapi kami terus memantau situasi dan menilai risiko kepada komuniti kami.

“Kami memantau dengan teliti seruan ini (Hamas) dan bekerjasama dengan pihak berkuasa persekutuan, negeri dan  tempatan melibatkan perkongsian maklumat,” kata polis.

Tanda pagar Hari Jihad kini tular dalam aplikasi X, manakala Institut Penyelidikan Media Timur Tengah (MEMRI) melaporkan bahawa Hamas menetapkan Jumaat ini sebagai hari mobilisasi umum untuk operasi Taufan Al-Aqsa.

Dalam kenyataannya, Hamas menggesa penduduk Palestin di Tebing Barat dan di Israel menyertai perhimpunan besar-besaran dan melancarkan konfrontasi terhadap tentera Israel jika mempunyai peluang berbuat demikian.

Pada Sabtu minggu lalu, Hamas melancarkan beribu-ribu peluru roket ke arah Israel sebagai membalas peningkatan serangan Rejim Zionis terhadap orang Islam di Masjid Al- Aqsa, Baitulmuqaddis, sejak akhir-akhir ini.  

Khaled turut menyeru supaya dunia Islam mengadakan protes hari ini bagi menyokong serangan pergerakan tersebut terhadap Israel.

“Kita mesti turun ke dataran dan jalan-jalan raya di rantau Arab dan dunia Islam lain pada Jumaat (hari ini),” katanya.

Peningkatan kehadiran polis akan dirasai dalam komuniti Yahudi dan Islam di Los Angeles, kata LAPD pula.

“Kami akan menghubungi komuniti Yahudi dan Islam tempatan kami dan akan menyediakan rondaan tambahan,” tambahnya.  – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI