ANKARA – Satu kajian mendapati bahawa jumlah kematian akibat penyakit kronik di Turkiye lebih tinggi berbanding mana-mana negara di dunia, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Gabungan angka kematian akibat kanser, strok, sakit jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang di Turkiye berada pada tahap tertinggi di peringkat global.
Negara itu menerima skor kematian keseluruhan 8.34 daripada 10, dengan 138.22 kematian akibat kanser bagi setiap 100,000 penduduk. Kadar kematian untuk strok (49.06) dan penyakit paru-paru (28.02) juga tinggi.
Hungary menduduki tempat kedua dengan skor kematian 8.29. Negara Eropah Tengah itu mempunyai kadar kematian akibat kanser dan paru-paru tertinggi dalam indeks, masing-masing 162.44 dan 30.26 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.
Slovakia yang memperoleh skor 7.57 pula menduduki tempat ketiga dengan 157.25 kematian akibat kanser.
Mexico (7.39) dan Poland (7.25) melengkapkan kedudukan lima teratas, diikuti Latvia (7.21), Republik Czech (7.21), Lithuania (6.76), Amerika Syarikat (6.62) dan Greece (5.90).
Secara keseluruhannya, kanser adalah punca kematian paling biasa di seluruh dunia, dengan purata 114 kematian bagi setiap 100,000 orang.
Analisis itu dilakukan oleh pakar-pakar firma insurans hayat William Russell, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk 38 negara yang mempunyai pendapatan tinggi.
Sementara itu, walaupun tidak tersenarai, laman web World Life Expectancy merekodkan kadar kematian akibat kanser di Malaysia pula adalah 100.2 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Penyakit tidak berjangkit membunuh kira-kira 41 juta orang setahun di seluruh dunia dan lebih 15 juta kematian itu melibatkan pesakit bawah usia 70 tahun dengan penyebab terbesar adalah penyakit kardiovaskular dan kanser,” kata seorang jurucakap William Russel. – AGENSI