JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah bersama keluarganya resah setelah adik lelakinya yang juga orang kelainan upaya (OKU) menghilangkan diri sejak Jumaat lalu.
Syarifah Masnan, 30, berkata, dia bersama keluarga keliling kampung di Felda Sungai Tiram, di sini, mengesan adiknya, Salman Syah, 25, namun menemui jalan buntu.
Menurutnya, anak keempat daripada tujuh beradik itu telah keluar dari rumah kira-kira pukul 6 petang tanpa pengetahuan ahli keluarga yang lain.
“Dia keluar rumah ketika ibu kami sedang bersembahyang, kebetulan ketika itu ahli keluarga lain juga tiada di rumah kerana berurusan di luar.
“Kami bimbang akan keselamatannya kerana sejak kecil dia sering diserang sawan hampir setiap minggu dan masih bergantung kepada ubat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya.
Katanya, mereka turut cuba mencarinya di kawasan sekitar dan bertanyakan kepada penduduk setempat namun tidak ada yang ternampaknya di kawasan itu.
Tambahnya, Salman juga tidak memiliki telefon bimbit untuk dihubungi menyebabkan lebih sukar untuk menjejakinya.
“Salman sebelum ini kerap keluar rumah namun akan pulang semula. Pertuturan dia juga kurang jelas dan dia juga mudah lupa kerana mengalami masalah sawan sejak kecil.
“Sudah seminggu dia tidak makan ubat, kami sangat bimbang memikirkan keselamatan dia yang berseorangan di luar sana,” ujarnya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini Jumaat lalu.
Katanya, pada hari Salman menghilangkan diri dia memakai baju bewarna gelap serta seluar bewarna coklat.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Salman menghubungi talian 019-6378854 atau balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE