PUTRAJAYA – Sebuah keluarga di sini memohon bantuan orang ramai untuk mencari anak perempuan mereka berusia 15 tahun, yang dikhuatiri hilang sejak semalam.
Ibunya, Noor Laizan Noor Azmi, 44, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu disedari hilang sekitar pukul 8 malam, selepas didakwa dibawa oleh seorang lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah motosikal di kediamannya di Blok C, Sub P14-7, Presint 14, di sini.
Katanya, anaknya Putri Insyirah Hawani Adi-Putra, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14 (1) itu meminta kebenaran untuk keluar pada malam itu namun tidak pulang ke rumah sehingga ke hari ini.
“Anak saya hilang pada pukul 8 malam semalam di Block C kawasan kediaman kami, yang saya perasan dia keluar dengan seorang lelaki bermotosikal berbadan kurus dan tinggi.
“Selalunya anak saya kalau nak keluar dia akan bawa adik-beradik lain tetapi kali ini dia tidak ajak. Tak sangka anak saya jadi berani sampai begini.
“Dari semalam saya cuba hubungi dan menghantar mesej sehingga sekarang dia tidak membalas. Ia amat merisaukan dan saya jadi buntu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Jelasnya lagi, sebelum ini dia sentiasa memantau aktiviti telefon anaknya itu namun, sejak kebelakangan ini dia tidak sempat untuk berbuat demikian.
“Saya dah lama tak cek telefon dia sebab dia banyak aplikasi merepek yang dia muat turun terutama jenis chatting (bersembang).
“Telefon dia juga saya pernah rampas dan dia pernah memberontak,” ujarnya.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis pada pukul 10.38 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE