KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, di sini baru-baru ini.
Pelaksanaan majlis berkenaan merupakan acara kemuncak semua program kebahasaan dan aktiviti bahasa kebangsaan yang melibatkan warga kerja di bahagian dan agensi di bawah KPM sepanjang tahun 2023.
Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan merupakan satu langkah proaktif KPM dalam menjenamakan semula Bulan Bahasa Kebangsaan, yang mana pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan telah dilaksanakan di seluruh negara khususnya sektor pendidikan yang terdiri daripada KPM, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi memperkasa dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
Program tahunan itu bertujuan untuk menunjukkan komitmen berterusan KPM dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap program yang dilaksanakan, selain menekankan kepentingan membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul agar keindahan bahasa kebangsaan terus terpamer.
Ia turut mempamerkan komitmen Pengurusan Tertinggi KPM khasnya, dan warga KPM umumnya dalam usaha untuk terus menjunjung, mendaulatkan serta mengukuhkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam segala aspek pentadbiran dan pengurusan di samping menanamkan kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan Negara.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan, Pertandingan Pengucapan Awam Peringkat KPM, Forum Bahasa Melayu Sektor Pendidikan, Bengkel Pemerkasaan Tulisan Jawi peringkat KPM dan pelbagai aktiviti lain di peringkat bahagian dan agensi.
Dalam majlis berkenaan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menyampaikan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kategori Teknik Vokasional yang telah dinobatkan kepada Ts. Dr. Siva a/l Rabindarang, Ketua Jabatan Teknologi Awam, Kolej Vokasional Slim River, Perak.