PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai sepenuhnya insentif kerajaan berhubung bayaran Insentif awal Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah serta RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melalui belanjawan 2024.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, melalui insentif itu jelas membuktikan kerajaan komited dalam menjaga kebajikan warga perkhidmatan awam seperti yang sering disebut Perdana Meenteri sebelum ini.
“Pemberian insentif itu sekali gus pada Februari 2024 juga dilihat tepat apabila ia boleh mengurangkan beban persediaan bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak serta persiapan menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Terdahulu dalam pembentangan bajet hari ini, kerajaan bersetuju memberi bayaran insentif itu dan ia termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
Katanya, pada masa sama Cuepacs turut menuntut komitmen kerajaan untuk mempercepatkan kajian SSPA supaya ia dapat dilaksanakan dengan segera pada tahun hadapan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Cuepacs juga menghargai langkah kerajaan memperluas kemudahan bantuan bayaran pakaian menghadiri upacara rasmi yang meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam yang layak.
Ujarnya langkah itu dapat membantu menjayakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan industri batik negara.
“Kita tidak mahu arahan pemakaian baju batik Malaysia kepada pegawai perkhidmatan awam ini tidak memberi impak yang berkesan disebabkan tiada sambutan,” kata kenyataan itu lagi. – KOSMO! ONLINE