fbpx

Belanjawan 2024: RM6.8 bilion disediakan untuk TVET, asah bakat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan untuk pendidikan di bawah program latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi Belanjawan 2024 bagi membangunkan bakat tempatan baharu yang berkemahiran tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET bermula tahun depan.

“Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) pula akan memanfaat dana RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan.

“HRD Corp akan menyediakan semula dana khas menggunakan 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan Madani kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta golongan rentan seperti bekas banduan, orang kelainan upaya, warga emas dan pesara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Kata Anwar, bagi mengekang kekurangan bakat tempatan, Program Academy in Industry akan dilaksanakan untuk menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan RM70 juta.

“Selain itu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan Dana Latihan TVET berjumlah RM180 juta bakal menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12 ribu pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran.

“RM20 juta pula dikhaskan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di ASWARA dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak RM17 juta disediakan untuk melaksanakan Program Tahfiz TVET yang akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI