fbpx

Belanjawan 2024: Prasarana sambut baik peruntukan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel, serta perkhidmatan bas di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan, menyambut baik Belanjawan Madani Kedua yang dibentangkan hari ini.

Prasarana dalam kenyataan berkata, di bawah belanjawan tersebut, Kerajaan membuat peruntukan bagi inisiatif pas bulanan My50 bagi pengguna pengangkutan awam yang akan memberi manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.

“My50 merupakan sebuah pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.

“Inisiatif ini bertujuan untuk mempertingkatkan pengunaan pengangkutan awam secara amnya,” katanya di sini hari ini.

Selain itu katanya, belanjawan itu juga memperuntukan sejumlah RM4.7 billion untuk menaik taraf projek LRT3 (LRT Laluan Shah Alam) dan juga sistem sokongan adalah satu berita baik bagi pengguna pengangkutan awam, khususnya bagi mereka yang berada di koridor barat Lembah Klang yang meliputi kawasan-kawasan dari Johan Setia, Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya.

“Ia bakal memberi manfaat kepada 2 juta pengguna di sepanjang koridor berkenaan.

“Peruntukan tersebut akan digunakan bagi mengembalikan semula lima stesen yang ditangguhkan pembinaannya sebelum ini, iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik,” jelasnya.

Selain itu, pengembalian stesen-stesen tersebut dijangka mampu menambah baik kesalinghubungan perkhidmatan LRT3.

“Selain itu, peruntukan ini juga merangkumi perolehan tiga set tren tambahan, penambahbaikan sistem sokongan dan perluasan depoh sedia ada di Johan Setia.

“Perolehan 150 unit bas elektrik dan pembinaan tiga depoh bas oleh Prasarana dengan kos RM600 juta ringgit bagi menyediakan kemudahan batuan pertama dan terakhir (First Mile Last Mile) untuk projek LRT3 adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih,” ujarnya.

Katanya, Prasarana juga menyambut baik inisiatif-inisiatif lain bagi sektor pengangkutan awam, untuk manfaat rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang selari dengan agenda memartabatkan pengangkutan awam.

“Ini bukti bahawa Kerajaan Madani amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi ‘Malaysia Madani’.

“Pihak Prasarana Malaysia Berhad mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan di atas peruntukan dan kepercayaan yang diberikan bagi melaksanakan inisiatif- inisiatif pengangkutan awam untuk manfaat rakyat Malaysia,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI