PETALING JAYA – Pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati agar tidak bertambah beban kepada rakyat.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, subsidi bersasar itu jangan hanya fokus kepada golongan B40 semata-mata, malah masih ramai daripada kumpulan M40 yang terkesan dengan kos sara hidup ketika ini.
“Kita kena ambil kira, ramai mereka dari golongan M40 akan terkesan jika kerajaan melaksanakan mekanisme subsidi bersasar yang hanya menghadkan golongan B40.
“Jadi kita kena ingat kalau nak laksanakan subsidi bersasar jangan sampai ada yang tertinggal kerana apabila ia terjadi, mereka yang terkesan ini akan mengalami peningkatan perbelanjaan secara mendadak termasuklah golongan pertengahan M40,” katanya pada sesi wawancara khas yang diadakan sempena Belanjawan 2024: Malaysia Madani, hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga bekas Menteri Kewangan mencadangkan agar subsidi bersasar dilaksanakan secara berperingkat agar mereka yang perlu membayar cukai dan sebagainya, tidak terbeban dengan pembayaran tinggi.
“Cadangan saya kita buat secara beransur, dalam tempoh lima tahun laksanakan subsidi bersara secara satu-satu, maknanya kita naikkan dahulu dengan 15 peratus, jadi simpanan yang kita (kerajaan) dapat kita agihkan kepada B40 dan sebahagian M40.
“Tahun depan, kita naikkan lagi 15 peratus, tahun seterusnya, naikkan lagi mengikut sasaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE