fbpx

Belanjawan 2024: Kerajaan bukan maksum, akan perbaiki kekurangan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid berucap pada sidang akhbar diiringi oleh jemaah menteri selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia di sini hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – “Kita bukan bersifat maksum, kita bukan sempurna. Tentu ada kelemahan beberapa kekurangan serta kelemahan yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa”.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang akhbar di Parlimen, selepas pembentangan Belanjawan 2024 hari ini.

“Insya-Allah dari masa ke semasa, (seperti) apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) (iaitu) tidak semua kementerian dapat dipuaskan hati tetapi saya yakin pendekatan baharu akan dilakukan apabila kajian dibuat di pertengahan tahun kepada Belanjawan ini,”ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 yang memperuntukkan hampir RM400 bilion iaitu meningkat berbanding peruntukan dalam Belanjawan 2023, RM388.1 bilion yang diumumkan pada 24 Februari lalu.

“Tidak ada satu pun kumpulan sasaran yang tertinggal, ini juga bermaksud apa yang disebut sebagai suatu usaha bagi menoktahkan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini.

“Kita dapati bahawa daripada hampir 130,000 kumpulan isi rumah yang miskin tegar telah menurun kepada 18,000 dan ini akan dapat dimuktamadkan insya-Allah menjelang 31 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Belanjawan 2024 hari ini merangkumi semua lapisan serta pelbagai segmen.

“Ini saya kira adalah konsep Malaysia Madani yang ingin diketengahkan oleh beliau (Perdana Menteri) dan ini sesuai juga dengan konsep ekonomi Madani yang berteraskan dua perkara iaitu mengstruktur semula ekonomi kita untuk menjadikan Malaysia sekali lagi sebagai penaraju di Rantau Asia. Kedua, menyentuh kesejahteraan rakyat.

“Kalau kita lihat keseluruhan konteks kita tengok tadi, itulah yang dicorakkan satu dalam sudut ekonomi dan menyentuh kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI