PETALING JAYA – Pemberian Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam di media sosial hari ini.
Ramai yang tidak ‘faham’ berkenaan pemberian RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
Ada yang menjelaskan penjawat awam yang melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform bakal mendapat tambahan RM1,000.
“Yang aku faham anggota berunifom seperti polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform bakal mendapat tambahan RM1,000 daripada jumlah RM2,000,” kata Cikgu Ajis.
“Saya masih tidak faham adakah penjawat awam yang melibatkan pasukan beruniform ini akan mendapat tambahan lagi RM1,000, atau mungkin mereka hanya mendapat RM1,000 sahaja pada Februari ini?” soal Mohd Affendi.
Menurut penjelasan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen hari ini, insentif SSPA RM2,000 terbabit diberikan kepada semua penjawat awam termasuk kontrak manakala RM1,000 tersebut kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan itu, jumlah RM1,000 tersebut bukan tambahan namun dimaksudkan adalah jawatan utama yang mana jawatan gred 56 dan ke atas hanya layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 berbanding RM2,000 kepada penjawat awam yang bergred 56 dan ke bawah.
Jawatan utama tersebut adalah termasuk, Panglima Angkatan Tentera, Komisioner Polis dan Ketua Pesuruhjaya Bomba.
Dalam pengumuman tersebut juga, pesara kerajaan turut mendapat bantuan sebanyak RM1,000 yang dijangka dibayar pada Februari 2024. – KOSMO! ONLINE.