PETALING JAYA – Dasar Peluang Kedua akan diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang punyai hutang tidak melebihi RM200,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat Julai 2023, hampir 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM50,000 telah dilepaskan daripada kebankrapan.
“Hasil pelaksanaan Dasar Peluang Kedua, Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 juga telah melepaskan secara automatik daripada pengisytiharan muflis bagi kes-kes semasa dan terkebelakang yang memenuhi syarat,” katanya di Parlimen hari ini.