PETALING JAYA – Rakyat berharap kerajaan memberi tumpuan dalam meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat dan membina lebih banyak rumah mampu milik dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan hari ini.
Seorang suri rumah, Nur Syakirin Ishak, 31, merayu kerajaan menyediakan rumah mampu milik dengan harga jualan di bawah RM150,000 buat golongan miskin dan B40 yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
“Masih ramai yang bergaji rendah termasuk suami saya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM2,000 sebulan.
“Kami tinggal di Cheras, sewa rumah RM800 sebulan, ditolak pula perbelanjaan barang dapur hampir RM500. Dua anak pula masih kecil dan perlu susu serta pampers.
“Jika kerajaan membina rumah dengan harga bawah RM150,000, mungkin kami mampu membelinya. Kebanyakan rumah sekarang dibina pada harga melebih RM300,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Seorang Pegawai Perancang Masyarakat, Norasyikin Abdul Majid, 32, pula berkata, meskipun keluarganya berada dalam kategori M40, namun masih terbeban untuk memiliki rumah sendiri kerana kebanyakan kediaman berharga RM350,000 ke atas.
“Saya dan suami dua-dua bekerja, pendapatan bulanan kami sekitar RM7,500, namun kami masih banyak tanggungan termasuk menjaga kedua-dua ibu bapa suami saya yang sudah uzur, anak kami ada tiga orang.
“Baki yang ada pada kami selepas bayar segala kos perbelanjaan bulanan, lebih rendah daripada B40, memang tak mampu beli rumah sendiri,” katanya.
Di George Town, seorang suri rumah, Safiyah Baharom, 39, berharap kerajaan dapat mengawal kenaikan harga barang dalam Belanjawan 2024.
“Disebabkan harga beras yang mahal ketika ini, kami kadangkala terpaksa mengurangkan pengambilan nasi kerana bimbang bekalan beras tidak dapat bertahan lama,” katanya.
Safiyah yang mengusahakan perniagaan kuih secara kecil-kecilan dari rumah berkata, sebagai peniaga dan pengguna pada masa yang sama, semestinya dia antara yang paling terkesan dengan kenaikan harga barangan.
“Pendapatan kami bergantung kepada hasil jualan yang tidak seberapa. Jadi, saya berharap agar tiada lagi kenaikan harga barang yang melampau terutamanya beras, ayam, minyak masak dan telur ayam selepas ini,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Bagi pembantu kedai makan, Azrinah Mansor, 44, dia berharap kerajaan tidak akan menghentikan bantuan kewangan kepada rakyat seperti yang diberikan sebelum ini.
“Kalau boleh STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dengan bantuan awal persekolahan itu dikekalkan. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban kami terutamanya keluarga yang memiliki anak ramai,” ujarnya.