fbpx

Angkasa hijaukan negara menerusi Koperasi Prihatin Sejuta Pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Fattah (dua kiri) bersama Wan Kamal Mujani (dua kanan) menandatangani dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Penyelidikan Antara Angkasa dan UKM di Dewan Dato' Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya, di sini hari ini. Foto AMIR KHALID

PETALING JAYA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama menerusi Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok untuk meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Kerjasama yang dimeterai dalam tempoh dua tahun bermula Oktober 2023 hingga September 2025 bersama hampir dua juta anggota koperasi sekolah itu diharapkan dapat memupuk kesedaran berkaitan isu alam sekitar terutamanya dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun.

Menurut Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, peranan koperasi sangat penting untuk pembangunan sosioekonomi negara, seiiring dengan salah satu prinsip dalam koperasi iaitu keprihatinan terhadap masyarakat.

“Isu perubahan iklim ini bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran malah memberi kesan kepada landskap ekonomi, sosial dan juga politik.

“Oleh itu, Angkasa mengambil inisiatif melalui program ini bagi menunjukkan sokongan kepada kerajaan dalam menghijaukan negara melalui inisiatif Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang disasarkan oleh kerajaan menjelang pada tahun 2025,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Penyelidikan Antara Angkasa dan UKM di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Menurut Abdul Fattah, program tersebut merupakan bukti kesungguhan dan komitmen Angkasa dalam usaha menyokong agenda nasional Penghijauan Malaysia seiring dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030) dan Dekad Pemulihan Ekosistem atau United Nation (UN) Decade on Ecosystem Restoration 2021-2030.

Tambahnya, Memorandum Kerjasama Penyelidikan tersebut adalah kesinambungan daripada kejayaan memorandum persetujuan (MOA) yang ditandatangani oleh Angkasa bersama UKM pada tahun 2021 bagi melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial koperasi yang menyokong agenda Penghijauan Malaysia menerusi usaha pemuliharaan hutan terosot di Kompartment 19, Hutan Simpan Sungai Lalang, Semenyih.

Melalui kerjasama tersebut, pihak Angkasa dan UKM telah membangunkan modul pendidikan dan pembelajaran bertajuk ‘Sejuta Pokok Segunung Harapan’ yang dimanfaatkan oleh 2,481 koperasi sekolah di seluruh Malaysia dengan keanggotaan berjumlah kira-kira dua juta anggota individu.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Wan Kamal Muiani, kerjasama bersama Angkasa merupakan cara terbaik untuk memupuk kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

“Sekarang, universiti bukan lagi menjadi medan penghasilan modal insan untuk pasaran negara semata-mata, sebaliknya kita juga menghasilkan pelbagai polisi yang dapat disumbang kepada negara, misalnya untuk memperkasakan alam sekitar.

“Mungkin isu kesedaran terhadap alam sekitar ini kita tidak berapa nampak, tetapi hakikatnya dunia dan negara kita sendiri sedang mengalami ancaman.

“Kini kita alami penurunan keluasan hutan, bencana alam yang tidak dapat dikawal dan sebagainya. Semua ini merupakan isu yang berkait rapat dengan alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, kajian yang bakal diterbitkan melalui kerjasama tersebut dapat mengukur sejauh mana kesedaran orang muda terhadap isu-isu kelestarian alam serta impak program tersebut terhadap alam sekitar.

“Antara yang menjadi fokus kepada kajian ini termasuklah kesan aktiviti yang dijalankan oleh manusia, impak perubahan iklim jangka pendek dan panjang serta langkah mitigasi yang dapat dilaksanakan dalam mengurangkan impak bagi menangani cabaran perubahan iklim.

“Penerbitan pelaporan dan artikel dalam jurnal oleh pihak UKM menerusi kajian ini akan menjadi rujukan untuk pelaksanaan program kesedaran dan aktiviti pemeliharaan alam sekitar oleh anggota koperasi dan juga masyarakat Malaysia secara amnya,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI