KOTA BHARU – Empat siswi di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS), di sini, membuat laporan polis selepas mendakwa mereka diganggu lelaki gila seks yang menyebarkan gambar, video dan mesej lucah dikaitkan dengan mereka sehingga tular di media sosial, hujung bulan lalu.
Keempat-empat pelajar itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Syahni, 19, berkata, dia dan tiga rakannya mengetahui perkara itu selepas menerima mesej menerusi aplikasi WhatApps kira-kira pukul 12 tengah hari pada 28 September lalu.
Katanya, mesej itu memaparkan gambar dan video mereka berempat sedang berjalan pulang ke rumah sewa yang terletak kira-kira 100 meter dari pusat pengajian mereka.
“Lelaki itu menggunakan video kami berjalan sebagai bahan untuk menyebarkan mesej berunsur lucah. Dia juga ada memperkatakan beberapa bahagian anggota badan saya dan rakan-rakan di dalam video tersebut.
“Keadaan itu menyebabkan saya dan rakan-rakan terkejut apabila kami dijadikan sebagai bahan untuk menyebarkan mesej lucah. Seluruh ahli keluarga menyuruh kami berempat membuat laporan berhubung perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Kota Bharu, di sini hari ini.
Syahni memberitahu, berdasarkan maklumat, lelaki tersebut dipercayai pemandu e-hailing dan sering berada di sekitar kawasan IPTS itu.
Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama yang berlaku dalam kalangan pelajar IPTS itu sejak dia memulakan pengajian pada tahun lalu.
“Mungkin ada pelajar lain pernah mendapat gangguan sama seperti kami dan mereka berdiam diri. Meskipun lelaki itu tidak agresif, tindakan itu sudah pasti memberi kebimbangan kepada pelajar lain selepas ini.
“Saya berharap tindakan segera dapat diambil terhadap lelaki itu sebelum kejadian sama berlaku kepada pelajar lain,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, beliau menggesa polis dapat menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti suspek terlibat.
Katanya, beliau prihatin dengan kejadian yang menimpa penuntut tersebut dan mangsa terlibat memerlukan sokongan pihak berwajib untuk menangani masalah itu. – KOSMO! ONLINE