fbpx

14 PATI keluar secara haram bersama 9kg syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
14 PATI ditahan bersama syabu yang dijumpai dalam dua buah beg, semalam.

KUALA LANGAT – Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bukan sahaja menyusup keluar secara haram malah turut ‘mengeksport’ syabu seberat sembilan kilogram (kg), di kedudukan 0.91 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, Banting di sini, semalam.

Perkara itu terbongkar menerusi penahanan 14 PATI termasuk sembilan wanita berusia 27 hingga 50 tahun kira-kira pukul 11.10 malam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, pihaknya terdahulu menerima maklumat kira-kira pukul 10.10 malam dari Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Klang, yang mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Tongkah.

Katanya, sebuah bot ronda kemudiannya telah diatur gerak bagi memintas vesel berkenaan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot terbabit cuba meloloskan diri dan berlaku adegan mengejar hampir 20 minit.

“Semasa adegan tersebut terdapat beberapa orang telah bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke hutan bakau Pantai Kelanang sebelum bot berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal terdapat 14 warga asing tanpa dokumen sah dalam bot fiber tersebut.

Ini melibatkan 12 warga Indonesia termasuk sembilan wanita selain tiga lelaki Pakistan dan telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan lanjut di jeti berkenaan telah menemui dua beg di dalam bot yang tidak diambil oleh PATI.

“Beg berkenaan mengandungi lapan bungkusan mampat mengandungi serbuk kristal berwarna putih disyaki dadah jenis syabu seberat sembilan kilogram diangarkan bernilai RM297,000,” katanya.

Bungkusan tersebut di serahkan kepada pengawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Jelas Mohd. Sharenliza, soal siasat mendapati seorang PATI membayar RM1,700 dengan mereka sedang menuju ke Medan dan Dumai, Indonesia.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI