PETALING JAYA – Penumpang MYAirline Sdn Bhd meluahkan rasa tidak puas hati atas tindakan syarikat penerbangan itu yang bertindak menggantung operasi secara mengejut hari ini.
Seorang pengguna di aplikasi X, dikenali sebagai @puteriibalqiis berkata, dia sudah menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak pukul 4 pagi lagi bagi menaiki penerbangan yang dijadualkan pukul 7.30 pagi.
Bagaimanapun katanya, sehingga pukul 5.40 pagi tiada petugas berada di situ malah semua kaunter MYAirline ditutup.
“Penumpang semua tunggu macam orang bodoh tau. Bagitahulah awal-awal jangan aniaya orang begini.
“Tolong pulang semula duit kami, saya terpaksa beli tiket baru kerana perlu balik Kota Kinabalu. Ramai lagi orang yang kena macam saya, orang tua pun ada. Tolong jangan jadi tak bertanggungjawab bagitahu saat akhir begini,” ciapnya.
Menurut wanita itu, dia juga kecewa kerana tidak diberitahu lebih awal dan dibiarkan begitu sahaja di lapangan terbang tanpa sebarang bantuan.
Terdahulu, MYAirline mengumumkan terpaksa menggantung operasi bermula hari ini berikutan mengalami masalah kewangan. – KOSMO! ONLINE