fbpx

UiTM nilai semula prosedur biasiswa PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suzana (dua kanan) ketika sidang akhbar tersebut. FOTO: Saddam Yusoff

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menilai semula prosedur penawaran kemudahan biasiswa peringkat doktor falsafah (PhD) dan Sarjana bagi mengelakkan isu melanggar kontrak berulang kembali.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA), Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman berkata, perkara itu dilihat dari tiga persepektif termasuk persediaan calon dan memenuhi kriteria tertentu.

Katanya, ini termasuk pengalaman membuat penyelidikan dan kertas cadangan daripada bakal penerima itu.

“Kita juga menambah baik proses pemantauan terhadap staf berkenaan bersama penyelia mereka supaya kita boleh memantau progres kemajuannya dari awal hingga tamat pengajian ataupun tempoh.

“Tempoh lanjutan juga tidak akan diberikan dengan mereka (penerima). Contohnya, (tempoh masa) diberikan empat tahun, jadi perlu habiskan dalam tempoh itu,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Jelas beliau, penambahbaikan tersebut dibuat juga untuk memastikan calon-calon yang memohon kemudahan diberikan universiti itu lebih bersedia untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat PhD.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan UiTM menanggung kerugian berjumlah RM58.57 juta, selepas ramai penerima biasiswa yang menandatangani perjanjian ke peringkat Ph.D dan Sarjana gagal mencapai objektif ditetapkan.

Dalam perkembangan berlainan, Pendaftar UiTM, Muhamad Nizam Noordin berkata, Suzana dilantik menjalankan fungsi Naib Canselor universiti itu berkuatkuasa hari ini sehingga Naib Canselor baharu dilantik.

Ujarnya, perlantikan tersebut dibuat apabila Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bersara wajib berkuat kuasa hari ini selepas memegang jawatan tersebut sejak Ogos 2021.

“Proses pemilihan Naib Canselor universiti kini di peringkat kementerian. Kita ada tatacara yang diikuti daripada kementerian Pengajian Tinggi bermula dengan pengiklanan, saringan seterusnya ke proses di peringkat Lembaga Pengarah Universiti (LPU),” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI