fbpx

Terduduk, meraba cari ‘jumpscare’ The Exorcist: Believer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
The Exorcist: Believer merupakan sekuel filem seram paling agung dunia, The Exorcist yang dilancarkan 50 tahun lalu.

TIADA filem seram yang mampu menandingi kehebatan karya berstatus ‘original gangster’ (OG) terbitan 1973, The Exorcist. 

Itu sepotong fakta yang tidak boleh disangkal. The Exorcist merupakan filem seram paling unggul pernah diterbitkan yang berjaya bukan sahaja dari segi jualan, pungutan trofi (10 pencalonan trofi Oscar) dan memberikan dampak tersendiri terhadap budaya bop sehingga kini. 

Sehingga kini, The Exorcist masih sebuah mahakarya klasik yang merentasi masa dan masih relevan ditonton walaupun sudah 50 tahun berlalu.  

Selepas mencapai status jubli emas, Hollywood cuba meninggalkan satu lagi impak menerusi penerbitan sekuel The Exorcist: Believer. 

The Exorcist: Believer menyaksikan pelakon asal Ellen Burstyn (kiri) kembali memerankan karakter Chris MacNeil selepas 50 tahun filem seram paling laris, The Exorcist diluncurkan.

Sejujurnya sebelum melangkah ke panggung, penulis tidak meletakkan harapan setinggi gunung terhadap sekuel terbabit. 

Memandangkan banyak filem seram ketika ini gagal mencapai piawaian seperti apa ditetapkan The Exorcist, seperti itulah keluhan nafas usai menonton kebanyakan filem hantu atau seram sejak akhir-akhir ini. 

Slow-burn

The Pope’s Exorcist, The Nun II dan sekarang, The Exorcist: Believer. Yang ketiga dalam senarai disebutkan itu sepertinya menderaskan sedikit adrenalin berbeza kerana mempunyai hubungan dari segi naratif dan permainan karakter dengan The Exorcist (1973).

Berdasarkan trailer memang seperti ada harapan namun sayang seribu kali sayang, Believer secara keseluruhan jauh ketinggalan dengan versi asal. 

Memang tidak patut memberi ulasan berdasarkan filem asal tetapi jika memang sudah itu menjadi taruhan pilihan produksi, selayaknya penonton membayang skala serupa, setidak-tidaknya setanding. 

Alur cerita The Exorcist: Believer sangat bersifat slow-burn (perlahan) sehingga adakala, penulis dan beberapa sahabat berkali-kali terlena saat menghabiskan tontonan. 

Sejujurnya, penulis secara peribadi tiada masalah dengan filem thriller atau seram yang disajikan secara slow-burn. Itu barangkali adalah gaya pengarahan namun kalau terlalu perlahan sekali pun, janganlah sampai ‘membunuh’ rasa ingin tahu audiens. Itulah masalah The Exorcist: Believer. 

Jumpscare kurang

Perlahan dan diselang-selikan dengan jumpscare yang terlalu minimal, plot sedemikian turut mencetuskan keluhan penonton. 

Dari segi plot atau naratif, pada 30 minit awal ingatkan filem akan jadi seperti ‘Black Panther’ versi seram (kerana kebanyakan pelakon berkulit hitam) dan itu adalah satu yang mengujakan namun, lain yang terjadi. 

Seperkara lagi, plot cerita seperti mundar-mandir tanpa hala tuju membuatkan fokus audiens kerap terganggu. 

Body and the Blood. Itu ungkapan yang sering diucapkan Katherine yang menjadi mangsa rasukan syaitan selepas ‘bermain’ di hutan.

Secara peribadi, itu bukan masalah besar namun ini cerita hantu, dan kalau satu babak membuatkan bulu roma tegak berdiri kemudian secara tiba-tiba, masuk adegan ‘biasa’ yang mengendurkan ketegangan, emosi di situ sudah mengurangkan keseronokan. 

Umpamanya, sedang menghirup kopi kegemaran namun tiba-tiba perut ‘buat hal’ terpaksa ke tandas dan hadap minuman kopi yang sudah sejuk.

Tolonglah, tolak ke tepi bantuan kesan janaan komputer (CGI) atau kesan visual (VFX) setiap kali hadir dengan genre seram. Carilah alternatif lain yang lebih ‘real’.

Angela, Katherine ‘penyelamat’

Dari segi terjemahan karakter, pujian harus diberikan kepada dua pelakon remaja, Lidya Jewett yang melakonkan watak Angela Fielding dan Olivia Marcum (Katherine). 

Dua aktres muda itu menjadi sebab mengapa penulis menonton dengan sedikit senyuman di bibir. 

Tidak  banyak impak ditinggalkan teraju utama, Leslie Odom Jr. sebagai Victor Fielding (bapa kepada anaknya Angela yang dirasuk syaitan).

Cameo atau kemunculan istimewa watak ‘50 tahun lalu’ Chris dan Regan MacNeil juga terlalu minimal namun cukup memberi impak terhadap penjunjung filem OG agung, The Exorcist. 

Secara total, tidak benci The Exorcist: Believer namun kalau jatuh ke tangan sutradara yang lagi berhak, mungkin lain acuan keberhasilannya. 

Sekurang-kurangnya, Believer lebih baik daripada dua filem disebutkan pada perenggan keenam (The Pope’s Exorcist, The Nun II) yang juga dilancarkan tahun sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI