PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penyelewengan subsidi beras selepas menyerbu lima buah kilang di Kedah, sejak semalam.
Menurut sumber, SPRM kini telah mula menumpukan siasatan berkaitan penyelewengan pemberian subsidi kepada petani-petani yang menjual beras tempatan ke kilang-kilang yang dilesenkan.
Katanya, serbuan bekenaan dilakukan bagi mengesan aktiviti penyelewengan pemberian subsidi beras tempatan tersebut.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah mereka disyaki menipu resit-resit pembelian padi di kilang-kilang terbabit.
“Mereka bertanggungjawab dalam memastikan jumlah padi dibeli dari petani seimbang dengan jumlah subsidi yang dibayar,” katanya di sini, hari ini.
Kata sumber lagi, penyelewengan dalam tuntutan subsidi ini disyaki berlaku apabila jumlah berat padi yang dijual di kilang adalah tidak sama dengan nilai subsidi dibayar kepada petani.
“Resit-resit pembelian padi dan jumlah berat padi disyaki sengaja dipalsukan dengan melipatgandakan jumlah berat padi yang dijual,” ujarnya.
Jelasnya, difahamkan subsidi dibayar oleh kerajaan sebanyak RM500 bagi setiap tan padi yang dijual di kilang manakala pihak kilang membeli daripada petani dengan harga RM1.25 sekilogram.
“Ini bermaksud sekiranya, seorang petani menjual satu tan beras kepada pengilang, mereka akan menerima RM1,250 dan RM500 daripada jumlah tersebut merupakan subsidi daripada kerajaan,” jelasnya.
Tambah sumber itu lagi, jumlah subsidi yang diperuntukan kerajaan ialah sebanyak RM600 juta setahun namun masih terlalu awal untuk merumuskan jumlah sebenar ketirisan subsidi berlaku.
Selain itu, sumber turut mendedahkan bahawa terdapat penyelewengan dilakukan oleh pengilang mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan dijual pada harga beras import jauh lebih menguntungkan berbanding harga beras tempatan yang dikawal kerajaan.
“Salah satu lagi faktor menjadi punca kekurangan beras tempatan ialah sikap pengilang menyimpan dan menyorokkan beras-beras tempatan kononnya menunggu pelarasan harga oleh kerajaan. Mereka memberi alasan beras tersebut disimpan ialah disebabkan tiada ejen yang mahu membeli beras tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tindakan yang diambil SPRM berhubung perkara ini.
Katanya, masih terlalu awal untuk merumuskan perkara ini dan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“SPRM akan melihat dua aspek termasuk kesalahan jenayah dan aspek tatakelola dalam pengagihan subsidi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE