BEIJING – Seorang pengantin perempuan di China menjadi perhatian pengguna media sosial selepas berjalan masuk ke dewan perkahwinan dengan memakai uniform sekolah menengah, lapor akhbar New York Post semalam.
Dalam hantaran yang tular di laman Douyin atau TikTok versi China, tindakan pengantin yang identitinya tidak didedahkan itu sekali gus mengejutkan pengantin lelaki.
Dia dilihat berjalan masuk dengan memakai sweater lengan panjang, seluar hitam dan kasut hitam, manakala rambutnya diikat santai.
Menurut wanita berkenaan, tindakan itu dilakukan sebagai tanda memperingati hari pertama dia dan pengantin lelaki bertemu, iaitu 11 tahun lalu di sebuah sekolah menengah.
Pasangan tersebut berjaya mengekalkan hubungan cinta monyet mereka walaupun menetap di negara berbeza selepas tamat persekolahan.
Namun, hubungan jarak jauh menjadikan percintaan tersebut agak sukar dan mereka terpaksa mengharungi pelbagai cabaran.
Dengan harapan mencipta semula keajaiban cinta di bangku persekolahan itu, pengantin perempuan membuat keputusan memakai pakaian seragam sekolah untuk mengingatkan suaminya bahawa dia masih gadis sama yang dikenali ketika zaman remaja.
Situasi itu membuatkan pengantin lelaki terharu dan menangis kegembiraan.
“Ketika itu, segala-galanya terasa seperti pernah dilalui. Saya menjangkakan dia (isteri) berjalan masuk memakai gaun putih. Namun, saya melihat seorang gadis sama yang telah mencuri hati saya 11 tahun lalu,” katanya. – AGENSI