KAJANG – Pemandu kereta rentung, manakala penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 290.5, Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 2:16 petang tadi.
Katanya, seramai empat anggota keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Setibanya di lokasi, mendapati sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer terbakar 90 peratus akibat terbabas sebelum berlanggar dengan sebuah motosikal jenis Honda RS.
“Api berjaya dipadamkan dan seorang mangsa ditemui rentung di dalam kereta manakala pemandu motosikal mengalami cedera di bahagian kepala dan tangan kanan telah di hantar ke Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, identiti mangsa yang maut terbakar di dalam kereta tersebut masih belum dikenalpasti.-KOSMO! ONLINE.