fbpx

MYAirline mohon maaf, tiada penyelesaian serta-merta untuk penumpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) memohon maaf kepada semua pihak yang terjejas dengan penggantungan operasinya yang berkuat kuasa, hari ini.

Bagaimanapun, disebabkan kekangan kewangan yang dialami, MYAirline mengakui tidak dapat menawarkan sebarang penyelesaian serta-merta buat para penumpang yang sedang terkandas di lapangan terbang.

“Pertama sekali, kami ingin meminta maaf kerana tidak memperuntukkan masa yang cukup buat para penumpang yang terkandas di lapangan terbang.

“Kami menerima segala kemarahan dan kekecewaan yang dihadapi oleh para penumpang serta semua pihak yang terjejas.

“MYAirline mengakui bertanggungjawab atas segala gangguan yang berlaku disebabkan pengeluaran notis secara tiba-tiba,” katanya menerusi sebuah kenyataan, hari ini.

Tambah MYAirline, pihaknya turut memohon maaf kepada semua pihak termasuklah Kementerian Pengangkutan (MOT), Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), lapangan terbang Thailand, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT).

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada AirAsia, Batik Air dan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) serta MAHB kerana sudi membantu para penumpang yang terjejas.

“Buat masa ini, MYAirline sedang meneroka semua jalan agar dapat kembali beroperasi seperti biasa. Kami memohon kesabaran daripada semua pihak ketika kami menilai semua pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak MYAirline menggalakkan para penumpang yang terjejas agar menghubungi wakilnya di [email protected] (dari 7 pagi hingga 12 tengah malam) untuk memulakan proses bayaran balik.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang diberitahu kelak.

Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu berkata, keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI