fbpx

MotoGP: Marquez sah sertai pasukan satelit Ducati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARQUEZ bakal meneruskan kerjayanya dalam saingan MotoGP musim depan bersama pasukan Gresini Racing. - AFP

JAKARTA – Segala teka-teki hala tuju Marc Marquez dalam karier perlumbaannya akhirnya terjawab apabila pasukan Gresini Racing mengesahkan pelumba Sepanyol itu akan menyertai mereka pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

Honda Racing Corporation (HRC) dan Marquez sebelum ini membuat keputusan mengejut apabila mencapai kata sepakat untuk menamatkan kerjasama menjelang akhir musim saingan MotoGP.

Perpisahan itu menamatkan legasi 11 tahun Marquez bersama Repsol Honda yang menyaksikan pelumba itu mencipta kejayaan gemilang dengan merangkul enam gelaran dunia MotoGP, 59 kemenangan dan 101 kali podium dalam kelas perdana.

Selepas ini, Marquez akan bergabung menyertai pasukan satelit Ducati itu bersama adiknya sendiri, Alex Marquez untuk mengemudi jentera Desmosedici GP23.

“Saya teruja dengan cabaran baharu ini. Ia bukanlah satu keputusan yang mudah kerana ia merupakan satu perubahan besar dalam karier saya.

“Tetapi, kadangkala dalam kehidupan adalah penting untuk keluar dari zon selesa dan meletakkan diri anda terus berdaya saing.

“Dari segi peluang dengan jentera, saya perlu menyesuaikan diri dengan gaya tunggangan kepada beberapa perkara dan saya akui ia tidak mudah. 

“Namun, saya juga pasti bahawa seluruh pasukan Gresini akan memberikan bantuan. Saya tidak sabar untuk mengenali pasukan ini dan mula bekerjasama dengan mereka. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Nadia Padovani, Carlo Padovani dan Michele atas kepercayaan mereka ke atas saya,” kata Marquez. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI