JAKARTA – Pelumba Perancis, Fabio Quartararo tanpa berselindung memberi amaran kepada Yamaha bahawa dia bersedia meninggalkan pasukan itu melainkan pihak pengurusan mengambil pendekatan lebih berani meningkatkan prestasi jentera mereka pada musim 2024.
Ketika ini, kontrak Quartararo bersama Yamaha berjalan sehingga penghujung 2024 bermakna pasukan mempunyai satu tahun untuk memberikan jentera kompetitif kepada bintang utamanya itu atau bersedia kehilangan juara dunia 2021 tersebut.
“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk membuat revolusi. Masa depan sekarang bukan di tangan saya. Ia berada di tangan Yamaha.
“Sudah tentu saya lebih suka kekal di Yamaha. Tetapi, jika mereka tidak mencapai apa yang saya mahu terutama jentera yang kompetitif, saya perlu mempertimbangkan diri saya untuk mencari pasukan lain,” tegas Quartararo.
Quartararo menegaskan sepanjang tiga tahun lalu, dia hanya mengemudi jentera yang sama dan tiada peningkatan ketika pasukan lain menunjukan hasil yang luar biasa.
“Masalah lebih besar apabila anda tidak boleh berbuat apa-apa. Pada asasnya, sudah tiga tahun kami mempunyai jentera yang sama dan tiada perubahan besar. Apa yang saya lihat, kami tidak boleh membuat penambahbaikan pada jentera,” tambahnya.
Sewaktu ujian di Misano sebelum ini, Quartararo telah mengkritik prestasi pasukannya selepas pulang dengan kekecewaan apabila gagal mencapai keputusan terbaik.
“Ia bukan ujian yang positif. Kami mengadakan mesyuarat selama satu jam, lebih kurang 20 orang dalam mesyuarat itu. Saya memberitahu kepada 20 orang ini bahawa saya tidak gembira.
“Banyak yang saya minta. Saya akan gembira jika mereka melakukan separuh daripada apa yang saya minta,” ujarnya. – AGENSI