fbpx

‘Mana nak cari RM3,000 sebulan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azli memerlukan RM3,000 untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarga termasuk membeli ubat bagi penyakit kanser payudara dihidapi isterinya, Zuriah.

JERANTUT – Seorang peneroka Felda Kota Gelanggi Dua di sini dilema untuk menyediakan per­belanjaan RM3,000 sebulan bagi rawatan termasuk pembelian ubat untuk isterinya yang menderita penyakit kanser payu dara tahap empat.

Mohd. Azli Sulaiman, 58, ha­nya mengharapkan hasil sawit yang semakin berkurangan ketika ini bagi memastikan keperluan isterinya, Zuriah Mohd. Noor, 57, sentiasa mencukupi.

Katanya, sejak isterinya dikesan menghidap penyakit tersebut pada Oktober 2022 dia telah membelanjakan kira-kira RM30,000 bagi rawatan berterusan.

“Semua wang simpanan sudah habis sehingga kerja-kerja pembinaan rumahnya juga terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

“Saya kena ulang alik ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan, kemoterapi, pengangkutan, penginapan dan ubat. Semuanya habis RM30,000,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.

Menurut Mohd. Azli, penyakit isterinya mula dikesan selepas dia berasa payudaranya sakit dan tidak berselera makan serta lemah.

Tambahnya, selepas dibedah pada Disember 2022, isterinya berulang alik ke Hoshas, namun keadaan penyakitnya masih tidak ada perubahan dan hanya bertahan dengan memakan ubat.

“Saya berdepan masalah kewangan kerana dalam tempoh ini cuma memperoleh kira-kira 40 tandan sawit yang dijual dengan harga RM600 dan cuma berbaki RM400 setelah ditolak upah buruh dan sewa lori ke kilang,” katanya.

Sementara itu, Zuriah berkata, dia telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Kanser sudah merebak ke tulang belakang dan tulang rusuk yang memerlukan rawatan susulan dan juga memakan dua jenis ubat berharga RM250 dan RM3,000 untuk tempoh sebulan. Manalah kami mampu,” katanya.

Ujar Zuriah, dia pernah dapat bantuan RM1,000 daripada Majlis Ugama Islam Pahang dan berharap ada dermawan atau agensi kerajaan yang sudi membantunya untuk membeli ubat tersebut.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zuriah di talian 011-2463 0292 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat bernombor 220301388881.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI