fbpx

Mahkamah: ‘Lebih baik menyesal depan saya berbanding akhirat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Ahmad Hasbullah ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. Foto oleh Saddam Yusoff

SHAH ALAM – Penipuan seorang pengarah syarikat terhadap tuntutan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) semasa Covid-19 mendapat teguran keras daripada Hakim Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Malah, Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menegaskan tindakan itu disifatkan keji sebelum menjatuhi denda RM10,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar terhadap
tertuduh, Wan Ahmad Hasbullah Wan Mahmud Shudi, 40, yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

“Kamu sepatutnya tidak mengambil kesempatan dalam keadaan sekalipun. Covid-19 adalah situasi yang terpaksa dilalui semua orang dan bantuan kerajaan ketika itu untuk orang yang susah.

“Bukan untuk kamu ambil kesempatan kerana bukan kamu seorang sahaja mengalami masalah (semasa pandemik itu). Menipu adalah perbuatan keji. Lebih baik awak menyesal di depan saya berbanding di akhirat,” tegasnya.

Wan Ahmad Hasbullah yang mempunyai dua isteri itu didakwa telah memperdayakan seorang kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendorong menyerahkan wang berjumlah RM2,400 bagi mempercayai seorang dalam senarai pekerja di Data Penjana 1.0 syarikatnya yang diketahui tertuduh tidak lagi bekerja.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Cyberjaya pada 2 Disember 2020 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, Wan Ahmad Hasbullah yang merupakan pengarah syarikat telah mendaftarkan seramai 111 orang pekerja dengan gaji ditetapkan antara RM1,200 hingga RM3,000 termasuk seorang wanita yang menerima pendapatan RM2,400 kepada Perkeso.

Agensi kerajaan itu kemudiannya telah meluluskan permohonan syarikat tertuduh dalam sistem Penjana Kerjaya dengan jumlah bayaran RM371,600 bagi 111 orang pekerja termasuk RM2,400 bagi tujuan pembayaran gaji selama tiga bulan.

Namun, pekerja wanita mengesahkan bekerja sebagai rider syarikat tersebut selama seminggu sebelum berhenti pada pertengahan 2020 dan sehingga kini tidak pernah menerima apa-apa bayaran daripada syarikat tertuduh.

Terdahulu, pada prosiding tersebut, Peguam Mohd. Hafiz Zainol Abdidin mewakili tertuduh memaklumkan tertuduh telah insaf selain merupakan kesalahan pertama dan memohon hukuman ringan.

“Tertuduh telah berkahwin dua isteri yang tidak bekerja serta menanggung lima orang anak berusia lima hingga 13 tahun yang masih bersekolah,” katanya.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alif Shaharuzaman. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI