fbpx

Mahkamah: Isu ‘body shaming’, Eira Aziera kekal bayar ganti rugi RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eira Aziera

PUTRAJAYA – Pempengaruh, Eira Aziera gagal mengenetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM100,000 berhubung isu ‘body shaming’ dan buli siber terhadap pesuruhjaya sumpah menerusi Facebook Live, tiga tahun lalu.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S. M. Komathy Suppiah mendapati rayuan Eira Aziera atau nama sebenarnya, Noorazira Pissal tidak mempunyai sebarang merit.

“Selepas mempertimbangkan segala hujahan, kami bersetuju Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan kenyataan yang dibuat perayu (Eira Aziera) adalah fitnah. Perkataan-perkataan yang diucapkan adalah jelas dan tiada keperluan untuk memanggil pakar.

“Berdasarkan rekod-rekod rayuan yang diteliti, elemen-elemen (fitnah) lain juga telah dibuktikan. Sehubungan itu, kami sebulat suara mendapati tiada merit dalam rayuan perayu berhubung liabiliti,” kata panel itu.

Tambah panel itu lagi, Hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang kehilafan dalam dan dapatan Hakim itu dikekalkan.

Berhubung rayuan balas responden iaitu Suharnizan Md. Sidek hari ini, panel terbabit memutuskan bahawa rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit.

Suharnizan memfailkan rayuan balas itu kerana tidak berpuas hati dengan jumlah RM100,000 yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa tidak mencukupi.

“Selepas meneliti alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi berhubung kuantum (ganti rugi), kami dapati jumlah yang ditaksirkan adalah munasabah.

“Ia tidak keterlaluan atau tidak mencukupi. Hakim Mahkamah Tinggi juga mengambil kira faktor buli siber dan ‘body shaming’. Oleh itu kami mendapati rayuan balas berhubung kuantum tidak mempunyai sebarang merit.

“Kuantum (yang ditetapkan sebelum ini) dikekalkan. Rayuan balas ditolak dengan kos RM10,000,” kata Hakim Ahmad Zaidi.

Pada 13 Oktober 2020, Suharnizan selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi RM2 juta terhadap Eira Aziera yang didakwa memfitnah dan menghina entuk fizikalnya yang disamakan dengan haiwan.

Pada 13 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Eira Aziera membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan.

Mahkamah Tinggi itu memutuskan demikian setelah perbicaraan penuh dijalankan lima hari bermula 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian selepas mengambil kira semua keterangan saksi dan membaca hujahan kedua-dua pihak.

Sebelum ini, media melaporkan sebelum ini Suharnizam telah membuat komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara langsung sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI