PUTRAJAYA – Keupayaan untuk menguasai literasi kewangan dilihat menjadi antara ‘elemen’ penting dalam kehidupan seseorang, di mana ia menjadi platform dalam membantu orang ramai membangunkan sumber kewangan demi keperluan diri dan keluarga, seterusnya memiliki masa depan yang lebih terjamin kelak.
Dalam konteks ini, literasi kewangan disifatkan sebagai ilmu penting yang harus dimiliki setiap insan, memandangkan pengurusan kewangan bijak berupaya menjamin kelestarian sumber kewangan individu, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat Malaysia.
Susulan itu, institusi pelaburan terulung yang mempunyai pengalaman lebih 45 tahun, Permodalan Nasional Berhad (PNB) terus percaya bahawa pihaknya mempunyai kewajipan dalam memperkasakan komuniti dengan kemahiran celik kewangan seperti menyimpan, melabur dan membuat keputusan pelaburan yang bijak.
Bagi mencapai hasrat itu, PNB aktif menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan memastikan rakyat Malaysia terus diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan pada setiap peringkat usia.
Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) turut digambarkan sebagai program CSR dan karnival literasi kewangan terbesar PNB, di mana pada tahun ini, ia telah berlangsung di Bertam, Pulau Pinang bermula 30 September hingga 8 Oktober 2023.
Pada masa sama, tema MSAM 2023 iaitu ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’ turut dilihat sejajar dengan aspirasi PNB mendidik dan memberikan pendedahan kepada rakyat mengenai kepentingan pengurusan kewangan dalam suasana santai dan mesra melalui pelbagai aktiviti interaktif serta menghiburkan.
MSAM 2023 turut meletakkan fokus memupuk budaya suka menabung dan melabur di semua peringkat usia dalam usaha membantu rakyat membangunkan sumber kewangan diri dan keluarga untuk masa hadapan yang lebih terjamin.
Dalam aspek ini, tiga perkara penting pengurusan kewangan yang perlu diberi tumpuan utama melibatkan elemen peraturan bajet, kuasa pengkompaunan dan pelaburan berasaskan matlamat.
Peraturan bajet atau ‘budgeting rules’ meliputi aspek membina simpanan untuk melabur selain membuat belanjawan sistematik bagi membolehkan aliran kewangan sentiasa pada tahap positif.
Kuasa pengkompaunan ataupun ‘compounding effect’ pula merangkumi keupayaan kuasa kompaun dalam pelaburan serta kesedaran untuk membuat pelaburan di usia muda.
Sementara pelaburan berasaskan maklumat, ataupun ‘goal based investing’ mengajak orang ramai untuk memilih pelaburan berdasarkan matlamat, seterusnya menetapkan matlamat pelaburan yang diinginkan bagi mencapai pulangan maksimum.
Selain itu, literasi kewangan dijalankan PNB turut melibatkan kolaborasi bersama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dengan menganjurkan pelbagai inisiatif dan acara yang memenuhi kesemua empat teras komitmen CSR iaitu membiayai pendidikan, literasi kewangan, pembangunan komuniti dan inisiatif perkongsian ilmu.
Kolaborasi itu menggabungkan kemahiran dan kepakaran secara kolektif untuk menjana hasil terbaik kepada kumpulan sasar menerusi program-program utama yang dilaksanakan.
Menerusi inisiatif perkongsian ilmu, PNB juga komited memupuk kelestarian negara dengan mewujudkan platform perkongsian pengetahuan yang menggalakkan inovasi, kerjasama dan pembangunan mampan.
Malah secara tidak langsung, inisiatif itu membolehkan PNB menjadi lebih bermaklumat tentang trend dan pengaruh terkini ke atas pelaburan, ekonomi dan amalan kepimpinan.
Untuk rekod, antara program literasi kewangan utama yang dianjurkan PNB di seluruh negara termasuklah Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), Minggu Saham Digital dan Kelab Pelaburan Bijak PNB.
Bercakap mengenai teras komitmen PNB dalam aspek peningkatan komuniti, badan pelaburan itu juga menawarkan bantuan dan sokongan bagi meningkatkan kualiti hidup orang ramai melalui inisiatif serta sumbangan dermawan dan biasiswa yang diberikan kepada pelbagai organisasi dan sokongan sasaran.
Berdasarkan Laporan Tahunan Bersepadu PNB tahun 2022, PNB telah membelanjakan sejumlah RM34 juta dalam bentuk program-program penajaan atau biasiswa pendidikan melibatkan 1,229 pelajar di seluruh negara.
Ia antaranya melibatkan pelaksanaan Anugerah Biasiswa Global PNB dan Anugerah Biasiswa Perdana Yayasan Tun Ismail selain Inisiatif Akauntan Bertauliah PNB (PCA), Program Biasiswa PNB-Kolej Ilmu dan Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI). – KOSMO! ONLINE