KUALA KANGSAR – Seorang lelaki yang tersangkut pada tingkap nako ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Felda Bersia di Gerik Ahad lalu, dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Abdul Naaim Abu Bakar, 38, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah melakukan pecah rumah ke atas bangunan yang digunakan sebagai kediaman bagi maksud mencuri wang berjumlah RM77 milik seorang wanita berusia 39 tahun di sebuah rumah di Felda Bersia pada pukul 1.10 pagi, 8 Oktober 2023.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh ditangkap selepas dijumpai tersekat pada tingkap nako di bahagian dapur ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah dan mencuri wang tunai sebanyak RM77. – KOSMO! ONLINE