WASHINGTON – Israel diberi amaran oleh Mesir mengenai risiko serangan besar-besaran, tiga hari sebelum tentera Hamas membedil lebih 5,000 roket melintasi sempadan, kata seorang pengerusi panel Kongres Amerika Syarikat (AS) seperti dipetik Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan, Michael McCaul berkata: “Kami tahu Mesir telah memberi amaran kepada Israel tiga hari sebelum kejadian (serangan) berlaku.
“Saya enggan mendedahkan lebih lanjut, namun amaran telah diberikan,” kata McCaul selepas taklimat perisikan tertutup kepada wakil rakyat mengenai krisis Asia Barat.
Seorang pegawai perisikan Mesir memberitahu bahawa Kaherah memberi amaran kepada Israel tentang ‘sesuatu yang besar’ sedang dirancang di Gaza.
“Kami telah memberi amaran kepada mereka bahawa serangan akan berlaku dan akan menjadi besar. Namun, mereka memandang rendah amaran sedemikian,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.
Akhbar Financial Times yang memetik kenyataan sumber perisikan Mesir melaporkan, tiada risikan lanjut mengenai serangan tertentu dilakukan selepas amaran mengenainya dikeluarkan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kelmarin menyifatkan sebarang dakwaan bahawa Israel telah menerima amaran khusus tentang serangan Hamas sebagai ‘berita palsu sama sekali’.
Perkhidmatan risikan Israel mengadakan semakan semula tentang kegagalan mereka menghalang serangan paling berdarah oleh pejuang Palestin itu sejak 75 tahun konflik Asia Barat tercetus.
Mesir yang mengawal sempadannya dengan Gaza, sering menjadi perantara antara Israel dan Hamas.
Lebih 1,500 pejuang Palestin menyerbu sempadan Israel dalam serangan darat, udara dan laut yang diselaraskan pada Sabtu lalu.
Angka kematian di Israel akibat serangan kumpulan Hamas kini mencecah 1,200 orang manakala lebih 1,000 orang terbunuh dalam serangan udara Rejim Zionis ke atas Gaza. – Agenis