fbpx

Konflik Palestin-Israel: 5 rakyat Malaysia di Gaza dalam proses evakuasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan - AFP

KUALA LUMPUR – Seramai lima rakyat Malaysia yang kini berada di Semenanjung Gaza berada dalam keadaan selamat susulan konflik Palestin dan Israel sejak Sabtu lalu.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menyegerakan proses evakuasi ke atas lima individu berkenaan.

Kata Zambry, lima individu itu termasuk seorang ibu bersama tiga orang anak serta seorang doktor, Nurul Ain Latif yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

“Mereka berada di tempat yang selamat. Kita juga sedang berusaha untuk melakukan proses evakuasi untuk Dr. Nurul Ain.

“Sehingga kini kita mendapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama dengan lapan warga Indonesia yang berada di kawasan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai langkah atau bantuan sokongan yang akan diberikan kerajaan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Tebing Barat.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihaknya kini sedang memantau kedudukan rakyat Malaysia yang lain, di kawasan terbabit.

“Sehingga setakat ini, belum ada laporan lain yang melibatkan kedudukan rakyat Malaysia.

“Melainkan beberapa hari lalu ada rombongan melibatkan rakyat Malaysia dan Singapura yang berada di kawasan Baitulmaqdis, (tetapi) telah dikeluarkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI