TEL AVIV – Menteri Tenaga, Israel Katz berjanji bahawa Israel tidak akan menyalurkan sumber asas atau kemanusiaan sehingga Hamas membebaskan semua tebusan yang diculik semasa serangan mengejut Sabtu lalu.
“Bantuan Kemanusiaan ke Gaza? Tiada suis elektrik akan dihidupkan, tiada air paip akan dibuka dan juga tiada lori bahan api akan masuk sehinggalah tebusan Israel pulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sekitar 150 warga Israel, orang asing dan mereka yang mempunyai dua kewarganegaraan diculik ke Semenanjung Gaza oleh pejuang Hamas sebagai sebahagian serangan pada Sabtu lalu yang membunuh lebih 1,200 orang di Israel.
Sebagai membalas dendam, Israel melancarkan kempen serangan udara dahsyat ke atas Hamas di Genting Gaza dan membunuh juga kira-kira 1,200 orang.
Sejak beberapa hari lalu, Israel mengumumkan kepungan penuh ke atas Gaza dengan memotong bekalan air, elektrik dan bahan api. Satu-satunya loji janakuasa di wilayah Palestin itu ditutup semalam kerana ketiadaan bahan api. – AFP