TEL AVIV – Gabungan parti pemerintah Israel diketuai Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bersetuju menubuhkan sebuah kerajaan darurat yang turut disertai parti pembangkang sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas, lapor laman berita Wion News semalam.
Pengumuman itu dibuat Selasa lalu oleh parti pimpinan Netanyahu, Parti Likud.
Antara pemimpin pembangkang yang pada dasarnya bersetuju menyertai kerajaan perpaduan itu ialah bekas perdana menteri, Yair Lapid dan bekas menteri pertahanan, Benny Gantz.
“Kerajaan perpaduan darurat bertindak sekarang!” kata Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich. Beliau mewakili parti yang rapat dengan pergerakan peneroka haram Yahudi Tebing Barat.
Sementara itu, jurucakap Gantz berkata, beliau optimis akan ada ‘berita baik’ tetapi tidak menjelaskan secara terperinci butirannya, lapor agensi berita Reuters.
Reuters yang memetik sumber rapat dengan parti pimpinan Lapid melaporkan bahawa peranan kerajaan darurat adalah kecil dan profesional. – AGENSI