TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam berikrar akan terus memerangi Hamas dan menyatakan bahawa semua pejuang kumpulan Palestin itu akan dibunuh.
Dalam kenyataannya semalam, Netanyahu buat kali pertama menyuarakan secara jelas rancangan Israel untuk memusnahkan Hamas susulan serangan mengejut pada Sabtu lepas.
“Hamas ialah Daesh dan kami akan memusnahkan dan menghapuskan mereka seperti mana dunia menghapuskan Daesh,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen Israel.
Menteri Pertahanan, Yoav Gallant pula menambah: “Kami akan melenyapkan Hamas dari muka bumi ini.”
Terdahulu, Netanyahu menyelesaikan pertelingkahan politiknya dan menubuhkan sebuah kerajaan darurat termasuk penglibatan bekas menteri pertahanan, Benny Gantz sepanjang tempoh krisis tersebut. – AFP