KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1.2 bilion kerugian direkodkan membabitkan jenayah penipuan menunjukkan trend peningkatan sejak Januari hingga September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jenayah komersial menunjukkan peningkatan iaitu 31,388 kes pada tahun 2021, namun menurun sedikit ke 30,536 pada 2022.
Menurut beliau, peningkatan berlaku semula pada tahun ini apabila merekodkan sebanyak 30,992 setakat September lalu dan jumlah itu dijangka tidak akan berhenti di situ sahaja.
“Bagi jenayah berunsur fraud (penipuan) setakat September (tahun ini), kerugian sebanyak RM1.2 bilion direkodkan sementara kes berbentuk pecah amanah merekodkan kerugian RM310.2 juta.
“Untuk tempoh sama tahun ini, jenayah siber merekodkan kerugian RM31.14 juta, manakala peminjam wang tidak berlesen (along) merekodkan kerugian RM4.75 juta, diikuti pemalsuan (RM4.62 juta), penyelewengan harta (2.1 juta), pemalsuan wang (RM282,692) dan lain-lain kes (RM646,346.96).
“Kes e-dagang yang menggunakan medium Internet dan sebagainya bagi tahun ini setakat September merekodkan 8,868 kes dan jangkaan akan meningkat ke 9,000 atau 10,000 kes,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kapcai Ride Anti Scam JSJK di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mendekati pelaburan tidak wujud dan tidak mudah terpengaruh konon akan mendapat keuntungan yang ditawarkan dalam Telegram, WhatsApp kumpulan sekolah sebagai contoh labur RM600 mendapat pulangan RM3,000 hingga RM6,000.
Tegas Ramli, pelaburan seperti itu tidak logik dan jika betul ada pelaburan seperti itu, tidak perlu ada sistem perbankan.
“Bagi kes pelaburan tidak wujud ini merekodkan 3,746, pinjaman tidak wujud (3,196), phone scam (2,417), love scam (733) BEC Scam (33) dan SMS scam (227),” katanya.
Mengulas mengenai program hari ini, beliau memaklumkan program itu dianjurkan bagi menyebar luas mengenai modus operandi jenayah komersial yang semakin meningkat. – KOSMO! ONLINE.