NEW DELHI – Seekor kerbau di negeri Maharashtra, India menelan seutas rantai emas selepas pemiliknya tidak sengaja meletakannya di atas pinggan, lapor lama berita Thaiger semalam.
Wanita itu menanggalkan rantai lehernya sebelum mandi dan meletakkannya di atas pinggan dipenuhi kacang dan sekam padi.
Selepas mandi dan mencuci pakaian, dia meletakkan pinggan itu di hadapan kerbau tersebut dan meneruskan kerja rumahnya.
Beberapa jam kemudian, dia teringat di mana dia meletakkan rantai emasnya dan bergegas memeriksa pinggan tersebut, namun ia didapati kosong.
Rantai emas itu adalah hadiah perkahwinan daripada suaminya yang bernilai kira-kira 150,000 rupee (RM8,508).
Dia kemudian memberitahu suaminya mengenai kejadian itu dan mereka segera menghubungi doktor haiwan.
Doktor haiwan menggunakan alat pengesan logam untuk mengesan keberadaan rantai emas itu.
Keesokan harinya, kerbau itu menjalani pembedahan selama dua jam melibatkan 60 jahitan untuk mengeluarkan rantai emas pemiliknya. – Agensi