MONSUN Timur Laut (MTL) yang membawa risiko bencana alam terutama banjir bakal kembali melanda negara dalam tempoh kurang sebulan lagi.
Persiapan meliputi mesyuarat dan latihan simulasi operasi menyelamat serta agihan barang keperluan mangsa banjir telah mula giat dilaksanakan agensi terlibat mengikut rutin sejak bulan lalu.
Persediaan terhadap musim tengkujuh kali ini haruslah lebih rapi memandangkan senario banjir sejak kebelakangan ini semakin sukar dijangka.
Corak banjir sudah berubah dengan semakin banyak lokasi yang sebelum ini selamat tiba-tiba terjejas bah terutama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Tanpa persediaan rapi untuk menghadapi situasi luar jangka itu, keadaan kelam-kabut operasi penyelamatan terutama pada fasa awal bah seperti berlaku sebelum ini pasti berulang.
Ancaman itu bukan mustahil kerana berdasarkan hebahan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) kelmarin, berlaku pertembungan antara MTL dan fenomena El Nino yang boleh memberi impak signifikan terhadap corak cuaca negara.
Met Malaysia meramalkan berlakunya empat hingga enam episod hujan lebat yang boleh membawa risiko banjir sepanjang musim tengkujuh kelak.
Tiga negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang dijangka menerima taburan hujan lebat pada bulan depan dan Disember.
Episod hujan lebat itu pula beralih ke Johor, Sabah dan Sarawak pada bulan Disember ini dan Januari tahun depan.
Negeri-negeri di Pantai Barat juga tidak terkecuali daripada mengalami hujan berterusan sekiranya berlakunya luruan monsun kuat yang membawa tekanan rendah sewaktu tempoh MTL berkenaan.
Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing Xiang berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, fenomena El Nino sememangnya berpotensi mempengaruhi taburan hujan sewaktu MTL.
Beliau berkata, berdasarkan kajian sebelum ini, fenomena El Nino boleh mengurangkan taburan hujan di utara Sabah dan Sarawak serta utara
dan tengah Semenanjung Malaysia.
“Sebaliknya fenomena sama pula akan meningkatkan taburan hujan di selatan Semenanjung dan Kuching, Sarawak.
“Ia disebabkan kecenderungan pergerakan ‘pusaran luruhan sejuk’ dari kawasan Pantai Barat Kepulauan Borneo berhampiran Kuching ke arah selatan Semenanjung Malaysia semasa fenomena El Nino,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jing Xiang menerangkan pusaran-pusaran luruhan sejuk yang boleh menyebabkan hujan lebat biasa terbentuk di Kepulauan Borneo sepanjang tempoh MTL.
Beliau berkata, walaupun perubahan cuaca disebabkan pertembungan fenomena El Nino yang membawa cuaca kering dan MTL agak rumit untuk dijangka, ia tidak boleh dipandang mudah.
“Persiapan rapi perlu dilakukan agensi bertanggungjawab bagi menghadapi cabaran dan ancaman yang mungkin berlaku.
“Masyarakat juga perlu sentiasa waspada dan peka dengan sebarang sebaran disalurkan kerajaan sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Datuk Aminurrahim Mohamed pula berkata, persiapan operasi penyelamatan pada musim tengkujuh kali ini tidak terhad kepada banjir sahaja malah bencana alam lain seperti tanah runtuh dan kepala air.
“Kita bersiap sedia semua kemungkinan dan sentiasa berhubung rapat dengan MetMalaysia kerana pertembungan MTL dan fenomena El Nino kali ini mungkin akan memberi cabaran berbeza buat pasukan penyelamat dalam operasi cari dan menyelamat,” katanya. -KOSMO! ONLINE