Saya seorang isteri yang tidak bekerjaya. Bolehkah saya menggunakan duit suami untuk perbelanjaan rumah, tetapi tanpa izinnya?
JAWAPAN: Terima kasih atas soalan yang diajukan. Nafkah keluarga adalah tanggungjawab suami.
Suami hendaklah memastikan kesemua perbelanjaan keluarganya mencukupi. Jika suami seorang yang kedekut, maka isteri bolehlah mengambil duit suami tanpa pengetahuannya.
Namun, sekadar had yang mencukupi untuk tujuan perbelanjaan harian seperti makan, minum dan persekolahan anak sahaja.
Hal ini dapat dibuktikan melalui peristiwa Hindun binti Atabah iaitu isteri kepada Abu Sufian R.A yang datang mengadu masalah yang dihadapinya kepada Rasulullah SAW.
Ia berkenaan Abu Sufian iaitu seorang yang sangat kedekut dalam perbelanjaan. Dia tidak menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk anak dan isterinya, sehingga isterinya terpaksa datang mengadu dan menceritakan kesempitan hidup kepada Rasulullah.
Berhubungan persoalan ini, Rasulullah bersabda: “Ambillah apa-apa yang dapat menampungmu dan anak-anakmu secukupnya.” (Riwayat Muslim).
Tetapi pengambilan ini mempunyai had, di mana si isteri hanya perlu mengambil untuk keperluan sahaja dan adalah haram sekiranya si isteri mengambilnya melebihi keperluan.
Melalui hadis yang telah dinyatakan di atas, banyak pengajaran yang boleh kita fahami, antaranya:
Pertama: Hanya kepada yang berkenaan dan berkaitan sahaja kita boleh menceritakan keburukan serta tabiat seseorang. Namun, sebagai seorang Islam kita dilarang sama sekali untuk mengata dan mengumpat sesama Muslim.
Kedua: Apabila disampaikan atau pengaduan keburukan seseorang kepada kita, kita harus mendengar dengan teliti untuk kepastian dan pengadilan sesuatu hukum berlandaskan Islam.
Ketiga: Kita boleh mengambil dan menggunakan duit suami tanpa melebihi had biarpun tiada kebenarannya, untuk sekadar perbelanjaan bagi sesuatu urusan yang diperlukan sahaja.