PEMAIN naturalisasi kebangsaan, Endrick Dos Santos mengakui pasukan Harimau Malaya kini tidak lagi boleh dipandang ‘enteng’ meskipun bakal berdepan pasukan ranking ke-102 dunia, India pada aksi Pestabola Merdeka esok.
Menurut Endrick, pasukan negara sudah menunjukkan peningkatan mendadak apabila tidak tewas dalam enam perlawanan antarabangsa yang diharungi sejak Mac lepas dan bersedia untuk memberikan tentangan sengit apabila bertemu India nanti.
Pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, pasukan kebangsaan kini lebih yakin apabila berdepan pasukan kuat terutamanya selepas mendapat sentuhan magis pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.
“Peningkatan prestasi boleh dilihat menerusi beberapa keputusan diraih dalam aksi persahabatan antarabangsa dilalui sepanjang tahun ini serta peningkatan ranking dunia skuad Harimau Malaya.
“Malah, selain corak permainan menarik diterapkan, kekuatan karakter adalah asas kepada pasukan ini kerana kita lebih banyak mengawal permainan dan kita lebih faham dengan apa yang dimahukan oleh jurulatih.
“Apabila menentang pasukan kuat pun kita bermain seperti biasa dan tidak goyah. Semua tahu apa yang diperlukan dan saya harap momentum sama dapat dikekalkan nanti,” kata pemain kelahiran Brazil itu.
Selain Endrick, skuad Harimau Malaya turut memanggil dua lagi pemain bertaraf naturalisasi seperti Paulo Josue daripada pasukan KL City dan Sergio Aguero (Sri Pahang).
Harimau Malaya akan menentang India dengan pemenang bakal bertemu Tajikistan yang mendapat ‘bye’ ekoran penarikan diri Palestin dengan semua aksi akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.