BANGI – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bersetuju mengurangkan kadar caruman dalam Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) daripada 15 kepada 13 peratus mulai 31 Disember 2023 sehingga 30 November 2025.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu bagi membantu koperasi untuk bangun semula dengan lebih progresif dalam tempoh pasca pandemik Covid-19.
Kata Ewon, pengurangan itu juga dapat meningkatkan potensi pendapatan boleh guna koperasi untuk aktiviti perniagaan dengan lebihan kecairan tunai berjumlah hampir RM20 juta.
“Diharap pengurangan kadar KWRS ini dapat memberi kelegaan kepada koperasi untuk bangkit semula dan memulihkan perniagaannya serta mengalami pertumbuhan yang lebih baik.
“Bagaimanapun, kadar tersebut akan kembali kepada asal secara berperingkat mengikut ketetapan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKom 2030) di Hotel Tenera, di sini hari ini.
DaKoM 2030 merupakan hala tuju strategik yang mensasarkan tiga indeks prestasi utama (KPI) iaitu perolehan sektor koperasi sebanyak RM100 bilion serta 65 peratus koperasi aktif dan 80 peratus skor indeks kesejahteraan anggota (IndeKA) menjelang 2030.
Pada masa sama, Ewon turut menyampaikan anugerah kepada 10 koperasi terbaik 2023 menyaksikan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad di tempat pertama sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000.
Dalam pada itu, Ewon berkata, pihaknya turut berharap kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi dapat memperluaskan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kepada gerakan koperasi.
“Ini bagi menggalakkan penyertaan golongan belia, B40 dan kumpulan rentan dengan peruntukan khas untuk menjana pendapatan melalui aktiviti ekonomi koperasi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE