PUTRAJAYA – Seramai 700,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah mendaftarkan diri menerusi Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendaftaran itu bagi mengisi keperluan tenaga kerja untuk lima sektor kritikal di negara ini.
Beliau berkata, permohonan bagi RTK akan ditutup 31 Disember depan selepas ia dibuka pada 10 Januari lalu.
“Program Rekalibrasi 2.0 yang bermula Januari lalu akan berakhir 31 Disember ini dengan sasaran 518,000 (pekerja asing) pada suku pertama (tahun ini), dan setakat ini kita sudah berjaya mendatangkan hampir 600,000 bagi keperluan tenaga.
“Apabila program ini berakhir pada 31 Disember depan, mereka tidak lagi boleh mendaftar dan kita hanya akan proses melalui verifikasi kepada yang sudah mendaftar,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan berjaya mengutip hasil lebih setengah bilion ringgit bagi bayaran fi rekalibrasi, levi, pas visa dan proses lain menerusi RTK berkenaan.
Saifuddin berkata, dua bulan lagi masa berbaki untuk majikan mendaftarkan pekerja asing masing-masing dan bagi yang sudah mendaftar, mereka perlu membuat verifikasi dengan membawa sendiri pekerja mereka ke kaunter imigresen.
Menurutnya, program rekalibrasi terbabit dilaksanakan bagi memenuhi keperluan sektor kritikal terutama untuk merancakkan kembali ekonomi negara pasca Covid-19. – KOSMO! ONLINE